Hukum
Onani (Masturbate)
Masturbate atau dalam Bhs. M'sia = Melancap
atau Onani (Bhs. Arab = Istimna) ialah suatu perbuatan mengeluarkan
sperma dengan tangan sendiri dengan tujuan mencapai kepuasan seks secara
bersendirian, tanpa pasangan. Persolan ini dirasakan amat patut dibincangkan
hukumnya memandangkan ia adalah satu perkara yang sering timbul dibenak fikiran
apabila seseorang itu bermusafir jauh dari pasangan hidupnya sehingga
menyebabkan dia mencari sesuatu alternatif lain bagi mencari kepuasan seks
dirinya. Dalam perbincangan ini perkataan onani digunakan mewakili masturbasi
sebagai bahasa yang tepat mengikut Kamus Dewan.
Onani adalah suatu perbuatan yang dipandang sebagi dosa besar di sisi
Islam, demikian menurut majoriti para fuqaha. Imam as-Shafie dan Imam Malik,
apabila ditanya mengenai hukum onani, mereka mengharamkan perbuatan
sedemikian berdasarkan firman Allah Azza waJalla dalam al-Qur'an: Dan
mereka yang menjaga kehormatannya (dalam hubungan seksual) kecuali kepada
isteri atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidaklah tercela. Maka
barangsiapa yang mengingini selain yang demikian, maka mereka adalah
orang-orang yang melampaui batas.[Maksud surah al-Mu'minun 23 - 5,6,7][1]
Ayat di atas menerangkan bahawa seseorang yang menjaga kehormatan diri
hanya akan memperlakukan hubungan seksual bersama isteri-isterinya atau
hamba-hambanya yang sudah dinikahi. Hubungan seksual seperti ini adalah suatu
perbuatan yang baik, tidak tercela di sisi agama. Akan tetapi jikalau seseorang
itu cuba mencari kepuasan seksual dengan cara-cara selain bersama pasangannya
yang sah, seperti zina, pelacuran, onani atau persetubuhan dengan haiwan, maka
itu dipandang sebagai sesuatu yang melampaui batas, salah lagi berdosa besar di
sisi Islam. Demikian ringkas penerangan Imam as-Shafie dan Imam Malik apabila
mereka ditanya mengenai hukum onani.
Kenyataan di atas disokongi oleh riwayat berikut: Di Hari Akhirat Tuhan
tidak akan melihat golongan-golongan ini lantas terus berfirman: Masuklah
kalian ke dalam api neraka bersama-sama mereka yang (berhak) memasukinya.
Golongan-golongan tersebut ialah [1] Orang-orang homoseksual, [2] orang
yang bersetubuh dengan haiwan, [3] orang yang mengahwini isteri dan juga
anak perempuannya pada waktu yang sama dan [4] orang yang kerap
melakukan onani, kecuali jikalau mereka semua bertaubat dan memperbetulkan diri
sendiri (maka tidak lagi akan dihukum).[2]
Lebih dari itu onani juga hanya berupaya memberikan kepuasan sementara
kepada pembuatnya dan ia tidak lain hanya akan menambahkan lagi dorongan untuk
melakukan hubungan seksual yang lebih sempurna. Ini adalah kerana manusia telah
dicipta oleh Allah Azza waJalla untuk memuaskan kehendak seksual masing-masing
dengan pasangan masing-masing dan apabila manusia cuba mencari alternatif lain
ia hanya akan menaikkan semangat, tidak pula memuaskannya. Justeru itu onani
tidak akan berjaya memuaskan nafsu seksual tetapi hanya akan melahirkan nafsu
yang lebih kuat dan mengarah kepada perbuatan yang lebih buruk mudaratnya
seperti zina, pelacuran dan sebagainya.
Shah Waliallah Dahlawi menerangkan: Ketika air mani memancut dengan
banyak, ia juga mempengaruhi fikiran manusia. Oleh itu orang muda akan mula
menaruh perhatian terhadap wanita cantik dan hati mereka mula terpaut
kepadanya. Faktor ini juga mempengaruhi alat jantinanya yang sering meminta
disetubuhi menyebabkan desakan lebih menekan jiwa dan keinginan untuk melegakan
syahwatnya menjadi kenyataan dengan berbagai-bagai aktiviti. Dalam hal ini
seorang bujang akan terdorong untuk melakukan zina. Dengan perbuatan tersebut
moralnya mulai rosak dan akhirnya dia akan tercebur kepada perbuatan-perbuatan
yang lebih merosak. [3]
Keterangan di atas dapat diumpamakan kepada seseorang yang selalu
mengkhayal dirinya memandu kereta Ferari. Lalu di satu hari dia memperoleh
peluang untuk memandunya tetapi dihadkan kepada kelajuan maksimum 80 kmsj.
Sudah tentu ini hanya memberikan kepuasan sementara lalu menjadi pemankin pula
untuk berkehendak memandu kereta tersebut selaju 200 kmsj atau lebih.
Melakukan onani secara kerap juga banyak membawa mudarat kepada kesihatan
dan seseorang yang melazimkan diri dengan onani akan menghadapi kesan-kesan
kelemahan badan, anggota yang terketar-ketar atau terkaku, penglihatan yang
kabur, perasaan berdebar-debar dan kesugulan fikiran yang tidak menentu.[4]
Kajian perubatan juga membuktikan bahawa kekerapan melakukan onani akan memberi
kesan negatif kepada kebolehan seseorang itu menghasilkan sprema sihat dan
cukup bilangan dalam jangka masa panjang. Ini akan menghalang kebolehan
seseorang itu menghasilkan zuriat-zuriat bersama pasangan hidupnya malah lebih
dari itu, menghadapi ketergendalaan seksual dalam umur yang masih muda (mati
pucuk).[5]
Melazimkan diri dengan onani juga menjauhkan hakikat seseorang itu daripada
tujuan ciptaannya, iaitu sebagai sebaik-baik ciptaan Allah Subhanahu waTa'ala,
sebaik-baik makhluk bumi dan sebagai sebaik-baik umat, iaitu umat Islam. Ia
menjauhi nilai-nilai moral serta akhlak tinggi yang menjadi unsur utama
kemulian umat Islam berbanding dengan yang lain-lain.
Walaubagaimanapun sesetengah ahli fiqh berpendapat bahawa onani dibolehkan
jikalau seseorang itu menghadapi suasana kegentingan syahwat dan dia berkeyakinan
bahawa onani dapat meredakan syahwatnya dan dapat pula menghalang dirinya
daripada terjerumus ke dalam sesuatu yang lebih besar mudaratnya seperti zina
atau pelacuran. Kebolehan ini bukanlah bertujuan menghalalkan perbuatan onani
tetapi ia adalah didasarkan kepada kaedah usul fiqh yang menyatakan: Dibolehkan
melakukan bahaya yang lebih ringan supaya dapat dihindari bahaya yang lebih
berat. Di sini perlu diwarnakan bahawa onani yang dibolehkan dari prinsip
di atas hanyalah dalam suasana yang amat menekan, berbeza pula dengan onani
yang dilakukan setiap hari atau setiap masa yang terlahir dari perbuatan
melihat video-video, majalah-majalah atau angan-angan lucah. Yang pertama
dibolehkan atas dasar pertimbangan maslahat agama manakala yang kedua
diharamkan atas dasar pertentangan dengan perintah dan nilai-nilai agama.[6]
Tetapi sebelum seseorang itu dengan mudah menceburkan dirinya dalam
kebolehan melakukan onani dalam saat-saat keperluan, dia seharusnya mencari
alternatif-alternatif lain bagi mengelak dirinya daripada langsung menghampiri
perbuatan tersebut. Melazimkan diri dengan berpuasa, atau dengan banyak
berzikir mengingati Allah Ta'ala atau dengan mensibukkan diri dengan perkara-perkara
kebajikan adalah antara menu sajian yang dicadangkan. Tidak ketinggalan juga
ialah doa kepada Allah Subhanahu waTa'ala agar dia terpelihara dari perlakuan
atau lintasan hati yang mengarah kepada sedemikian perbuatan, mengingatkan
kepada kisah Nabi Yusuf alaihi-salam dalam al-Qur'anul Karim di mana beliau
walaupun selaku seorang Nabi Allah, tetap memanjatkan doa kepada Allah Azza
waJalla agar terpelihara dari godaan-godaan serta fitnah wanita yang dihadapi
di istana tempat kerjanya ketika itu. (Lihat surah Yusuf 12, terutamanya pada
ayat 32 dan 33). Sesiapa yang berusaha untuk menjauhkan onani atas dasar taqwa
dan iman kepada Allah Subhanahu waTa'ala, nescaya Allah akan mencukupinya.
Insya-Allah hidayahNya akan membimbing seseorang itu menjauhi perbuatan onani
dan pada waktu yang sama akan digantiNya dengan anugerah kelazatan jiwa dan
kepuasan batin yang tidak mungkin tercakup penggambarannya melalui tulisan ini.
Kesimpulan
1. Onani pada dasarnya
adalah perbuatan yang haram di sisi Islam lagi bertentangan dengan nilai-nilai
kesyumulan ajarannya.
2. Sesetengah ahli fiqh
membolehkan onani jikalau seseorang itu berkeyakinan bahawa ia akan dapat
menghalang dirinya daripada terjerumus dalam kesalahan agama yang lebih besar.
Kebolehan ini bukanlah sebagai menghalalkan onani.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar